JIKA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Wan Maimunah memilih untuk kembali berdua, kini giliran Mak Mah pula.
Baharu sahaja melangsungkan pertunangan bersama lelaki pilihannya pada 19 April lalu, ibu kepada pelakon dan pelawak, Adlin Aman Ramli, ini akan disatukan pada 17 Mei depan.
Walaupun bakal mengulangi detik bahagia ini di usia senja, namun Mak Mah atau nama sebenarnya, Ruminah Sidek, 68, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan teruja untuk kembali berumah tangga.
"Alhamdulillah, akhirnya ALLAH SWT memperkenankan doa-doa Mak selama ini yang memerlukan teman untuk meneruskan sisa usia. Walaupun Mak sering jadi nenek kebayan, namun masih ada yang sudi...
"Mak sentiasa berdoa untuk dipertemukan dengan lelaki yang boleh membimbing Mak mempelajari agama, teman untuk beribadat, berbual bicara dan ada ketika sakit demam.
"Walaupun Mak ada 10 anak, namun mereka mempunyai keluarga sendiri untuk diuruskan. Sesungguhnya jodoh, pertemuan dan ajal itu di tangan Yang Maha Kuasa," katanya yang kini berusia 68 tahun.
Menurut Mak Mah, perkahwinannya itu akan berlangsung di rumah abang iparnya yang terletak di Taman Berkat, Meru, Klang.
Siapa 'takcle' siapa?
Bercerita mengenai pilihan hatinya, Mak Mah memberitahu bahawa mereka pertama kali dipertemukan di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah pada 3 Mac lalu.
Menurut Mak Mah, bakal suaminya itu adalah peneroka di Felda Jelai 4, Negeri Sembilan, yang telah lama hidup sendiri setelah kematian isteri.
Menariknya, dalam pertemuan itu, Mak Mah terlebih dahulu menyuarakan isi hatinya kepada Haji Al Fatah Rahim, 70, mengenai kekosongan jiwanya sejak sekian lama.
"Sebenarnya, Mak yang 'tackle' dia dulu. Saya bertanya kepada Haji, adakah dia sedang mencari wanita untuk dijadikan isteri?
"Apabila dia mengiakannya, Mak terus masuk 'line' dan percubaan Mak tidak sia-sia. Mak setuju untuk menjadi isterinya bukan kerana nafsu atau teman tidur semata-mata.
"Namun, Mak amat yakin bahawa haji ini boleh membimbing Mak ke arah yang lebih baik dan bukan bersandarkan rupa dan harta semata-mata," katanya yang memilih untuk bertunang terlebih dahulu kerana mengikut sunnah.
Tidak seperti pasangan muda, Mak Mah memberitahu, dia hanya meminta hantaran berupa senaskhah al-Quran dan tasbih.
"Haji tanya Mak beberapa kali mengenai perkara ini, namun Mak tetap putuskan untuk tidak menerima pemberian lain selain al-Quran dan tasbih.
"Sebenarnya, nilai perkahwinan ini bukan hanya pada harta atau wang ringgit. Mak hanya mahukan kebahagiaan dan keseimbangan hidup," katanya lagi.
Adlin membantah?
Bagi golongan muda, terutamanya anak-anak, mungkin perkahwinan di usia ini dilihat sedikit janggal, malah tidak kurang juga yang membantah.
Akui Mak Mah, pada awalnya, anak-anak juga terkejut dengan keputusannya untuk berkahwin lagi.
"Mereka semua terkejut dan tidak percaya yang Mak ingin kahwin lagi. Adlin pula tidak terkecuali memberikan khidmat nasihat secara percuma agar Mak fikir masak-masak sebelum membuat keputusan.
"Mereka juga turut ke Negeri Sembilan untuk berjumpa dengan Haji dan 'menemuramah' lelaki yang cuba 'merampas' Mak daripada mereka.
"Bukan apa, mereka bimbang jika Mak sedih atau berdepan dengan masalah di kemudian hari kerana Mak sangat rapat dengan mereka. Biasalah, mereka membesar di bawah ketiak Mak...," katanya lagi.
Tambah Mak Mah yang terkenal dengan watak nenek kebayan dan hantu ini, bakal suaminya juga tidak melarang untuknya meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
"Setakat ini, dia tidak pernah melarang. Malah, dia turut memberitahu, jika Mak larat, teruskanlah.
"Kalau tak larat atau nak bersara, dia tak kisah kerana dia boleh memberi makan pakai yang secukupnya," jelasnya.
Sebelum ini, Mak Mah pernah melalui beberapa pernikahan termasuk dengan pelakon veteran, Allahyarham AR Tompel.
Selain AR Tompel, pelakon ini pernah berkahwin dengan Ahmad Safari dan Mohd Taib.
0 comments:
Post a Comment