Asmuni AwiNOTATERBITANKOSMORABU24 APRIL 2013MUKA 6***ARCHIVED BY KNR
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berkata, perbuatan itu dilakukan secara meluas menerusi media sosial seperti Facebook dan surat layang.
Menurut beliau, antara taktik yang digunakan termasuk menuduh golongan yang menyanggah keputusan Majlis Syura Ulama Pas sebagai pengkhianat parti dan melabelkan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai ortodoks.
“Saya bimbang perbuatan sebegini akan mendedahkan individu-individu yang terlibat dengan saman fitnah yang mungkin difailkan oleh mana-mana pemimpin yang terjejas reputasinya.
“Walaupun tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka, ia tidak boleh menghalang daripada tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang menyebarkan fitnah,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Kuala Selangor Jun ini dijangka menyaksikan pertembungan sengit antara golongan ulama dan Anwarinas dalam merebut jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden.
Penyokong kedua-dua belah pihak dipercayai saling menyerang antara satu sama lain sebagai salah satu strategi kempen untuk menaikkan pemimpin yang mereka sokong.
Yang terbaharu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad melalui laman blog beliau pada 16 April lalu melabelkan golongan proulama sebagai geng juhala atau bermaksud jahil.
Kritikan yang berunsur serangan peribadi terhadap kepemimpinan ulama Pas turut dilontarkan melalui ruangan komen dalam laman Facebook rasmi Pas Pusat, Dewan Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas.
Sementara itu, Asmuni memberitahu, sebanyak lima aduan berhubung pelanggaran peraturan pemilihan parti telah diterima setakat ini.
“Semua aduan tersebut melibatkan pemilihan Pas kawasan dan pengadu mendakwa, nama-nama calon yang bertanding jawatan Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua serta ahli jawatankuasa tercicir daripada senarai,” jelasnya.
Beliau berkata, aduan rasmi telah dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas Tumpat dan Pas Kawasan Puchong serta Subang manakala Pas Kawasan Kuala Langat dan Kapar akan berbuat demikian dalam masa terdekat.