• Rozita Che Wan bakal fail saman
“SAYA bagi tempoh dua minggu (14 hari) untuk mereka memadam dan menurunkan iklan!,” tegas pelakon cantik, Rozita Che Wan, berhubung isu penggunaan gambar dan namanya tanpa pengetahuan untuk tujuan promosi produk.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, terdapat dua pihak dari produk yang berlainan telah menggunakan nama dan gambarnya untuk melariskan produk mereka.

Malah, pihak berkenaan turut mempamerkan keberanian dengan mempromosikan produk itu di laman sosial milik pelakon Kiah Pekasam ini.

“Ada dua produk yang menggunakan nama saya secara tidak sah dan tanpa kebenaran di laman sosial. Ia adalah produk kesihatan, kesuburan serta kecantikan luaran.

“Saya mengetahui perkara ini sejak tiga bulan yang lalu dan pengurus peribadi saya telah cuba memberi amaran agar tidak meneruskan penipuan itu.

“Namun, sehingga kini, teguran itu tidak diendahkan. Sekiranya mereka masih berdegil, saya akan hantar notis tuntutan,” katanya ketika sidang media khas yang diadakan pada Jumaat lalu.

Sidang media yang bertempat di Flora Café, Amp Walk, Ampang, itu turut ditemani peguamnya, Ahmad Fuad.


Jelas Che Ta, sidang media ini adalah amaran terakhir yang diberi kepada stokis berkenaan agar memadam dan menarik balik iklan berkenaan.

Tanggung kerugian

Walaupun ia bukanlah insiden pertama, namun Che Ta memberitahu, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut mengganggu periuk nasinya.

Che Ta yang dilantik sebagai duta kepada dua produk kecantikan, Safi Rania Gold dan Longevite, ini mengakui teknik pemasaran yang dilakukan pihak berkenaan telah mengakibatkan kerugian kepadanya mencecah RM500,000.

Kata isteri kepada pelakon Zain Saidin ini, dia berdepan dengan kesukaran apabila ada pihak yang ingin menjadikannya sebagai duta produk.

“Sebelum ini, saya menerima tawaran untuk jadi duta produk. Namun, saya terikat dengan produk ‘tidak sah’ itu.

“Jadi, saya tidak dapat memenuhi tawaran berkenaan. Sebelum ini, pernah juga terjadi, namun saya hanya mengambil sikap berdiam diri dan pejam mata.

“Saya percaya, bukan saya seorang sahaja selebriti yang berdepan dengan perkara ini. Kes sebegini tidak boleh dianggap enteng kerana ia member impak kepada pendapatan dan penipuan terhadap pembeli,” katanya lagi.

Tambah Che Ta, dia juga turut menegur tindakan individu berkenaan agar pelanggan tidak tertipu dengan taktik yang digunakan.

“Dia ‘tag’ di laman sosial saya mengenai produk ini dan menulis saya juga turut menggunakannya. Saya menafikannya dan menegur, ‘tak baik menipu pelanggan’.

“Saya tidak pernah mencuba dan menerima set percubaan walaupun sebelum ini pihak itu pernah menawarkan kepada saya.

“Mereka juga tidak pernah menyatakan keinginan untuk menjadikan saya sebagai duta mereka. Itu yang saya pelik,” katanya lagi.

Kuat makan

Terpaksa berdepan dengan permasalahan ini diwaktu hamil, bagaimanapun, Che Ta memberitahu, ia langsung tidak menjejaskan kesihatan dan emosinya ketika ini.

Katanya, di usia kandungan kini yang mencecah tiga bulan, dia masih boleh mengawal emosi dan segalanya masih seperti biasa.

“Saya tak rasa tertekan pun kerana ada cara penyelesaiannya. Cuma, sejak hamil, saya perasan saya selalu cepat nak marah.

“Dalam apa-apa hal, kalau lambat, mesti saya marah. Namun, tak adalah sampai perubahan ketara.

“Tapi, dalam bab makan, memang berubah habis. Kalau dulu saya makan nasi sekali sehari, sekarang dua kali. Jam 11 pagi, saya dah kena makan dan asyik lapar sahaja,” katanya sambil ketawa.

Tambah Che Ta, kehamilan ketiga ini membuatkan dirinya sentiasa penat dan tidak bermaya. Malah, banyak masa dihabiskan untuk tidur sahaja.

“Kalau nak dibandingkan dengan kehamilan sebelum ini, saya tak pasti sama atau tidak kerana ia 16 tahun yang lalu.

“Tapi, ada orang beritahu, hamil di usia ini akan member kesan seperti cepat letih. Saya perasan, kalau di rumah, saya banyak tidur dan rasa lemah badan.

“Tapi, bila dah keluar, seronok pula. Hilang segala sakit-sakit yang ada. Alhamdulillah, saya tidak alami sebarang alahan, Zain pun sama. Kalau saya makan, dia pun makan,” katanya yang mengakui berat badannya bertambah empat kilogram (kg).

Bertanya mengenai jantina anak, Che Ta mengakui dia lebih teringin untuk memiliki anak perempuan kerana sudah ada dua anak lelaki.

“Kalau saya, saya nak perempuan. Tapi, anak-anak saya nak adik lelaki. Namun, saya tak kisah, lelaki ke perempuan, sama sahaja,” katanya yang bakal menyambut kehadiran cahaya mata pada pertengahan Oktober nanti.