Pages

Tuesday 29 April 2014

mencari Harta Karun Di Pulau Nangka Melaka





Di Pulau Nangka, Melaka - Kerja-kerja menebuk bongkah batu dipercayai pintu tempat tersimpannya harta karun peninggalan Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka di sini sudah mencapai tahap 90 peratus.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, usaha yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. itu dijangka selesai hujung bulan ini.


Menurutnya, buat masa ini, syarikat tersebut masih lagi menjalankan kerja-kerja penebukan lubang berkenaan yang dikatakan laluan ke tempat simpanan harta karun bernilai berbilion ringgit itu.

"Jika syarikat ini tidak berjaya menyelesaikan kerja tersebut dalam tempoh sepatutnya yang berakhir 30 April ini, maka tugas tersebut akan diserahkan kepada syarikat lain seperti termaktub dalam perjanjian.

"Namun, melihat kepada perkembangan terkini yang telah dijalankan syarikat itu, kita percaya pintu tersebut akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan ke kawasan tapak pencarian harta karun tersebut di Pulau Nangka hari ini.


Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk M.S.

Mahadevan; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat dan Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said.


Jelas Abdul Ghafaar, laporan terkini kerja-kerja yang dilakukan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, Mohammad Foad Khushairy memberitahu, pihaknya sedang menjalankan kerja-kerja penebukan lubang secara intensif selama 24 jam sehari melibatkan 36 pekerja pakar.

"Sehingga kini, masih belum ada apa-apa tanda yang kita temui dan jika berjaya ditemui sebarang artifak atau harta tersebut, maka ia akan dimaklumkan segera dalam satu sidang akhbar khas," ujarnya.

Dalam pada itu, Shah Gzali Khan memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditugaskan menjaga kawasan tersebut jika didapati terdapat penemuan harta karun melalui usaha pencarian berkenaan.

"Polis akan mengatur penugasan Polis Marin menjagakawasan perairan manakala PGA mengawal keselamatan dalam kawasan pulau tersebut sejurus harta berjaya ditemui," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

online