Pages

Sunday, 11 May 2014

Perkara-Perkara Bertentangan Islam Dalam Majlis Kenduri Kahwin



Gambar hiasan semata-mata

Perkara-Perkara Bertentangan Islam Dalam Majlis Kenduri Kahwin |  Dari semasa ke semasa saya juga diminta terlibat apabila saudara mara mengadakan majlis kenduri kahwin. Kini saya merasakan begitu ngeri sekali apabila melihat betapa umat Islam hari ini telah lari jauh dari ajaran Islam dalam menjalankan majlis kenduri kahwin.

Kali ini saya ingin membincangkan perihal majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.

Perkara 1:

Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang  ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan dari Al Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur’an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas  persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

” Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

” Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )

Mas kahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulamak tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Perkara 2:

Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar yang berasal dari ajaran Hindu  masih lagi dikekalkan pada hari ini.

Apa yang saya lihat dari majlis bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan mengatakan mereka itu adalah kawan-kawan syaitan.

Disini kita faham, membazir itu sangat dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu membazir? Erti membazir itu ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana  Tuhan. Menggunakan nikmat dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk disedekahkan kepada anak yatim bukan membazir kerana ia dilakukan kerana Allah.

Menyewa dan memasang peralatan pelamin lengkap dengan pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini adalah satu pembaziran.

Perkara 3:

Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?

Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang, beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya ke tong sampah! Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5 keping yang bersaiz besar untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan pengantin lelaki dan pihak tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah bawa pizza.

Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.

Perkara 4:

Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bermake up di majlis persandingan ini?

Antara jawapannya mungkin ialah:

1. Supaya aku kelihatan cantik menarik

2. Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik

3. Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku

4. Mungkin untuk menutup kecacatan di muka saya seperti jerawat dan jeragat

5. Engkau ingat aku ni tak cantik ke?

6. Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.

Apa yang jelas dari bermake up adalah satu dosa sebagaimana artikel Tabarruj di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/54 dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan musibah dari Allah. Takutilah azab Allah dan sesungguhnya azab Allah itu perit.

Membuat sesuatu perkara semata-mata untuk mendapat dosa dan azab adalah sesuatu kezaliman dan ke****han.

Tambahan pada 23 Ogos: Saya ada satu tambahan cerita sebagai iktibar. Ayu seorang anak yang baik dan kelihatan baik. Ayu menjaga auratnya serta bercampur dengan kaum lelaki secara sopan. Ayu belajar di sekolah aliran agama hingga tingkatan 5. Sambung pelajaran di luar negara dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Ayu cukup menjaga sentuhan yang tidak perlu sehingga mengelakkan dari bersalam dengan pakcik sebelah suami adek beradek ibu ayahnya. Namun apa yang sangat saya kesalkan ialah demi untuk kelihatan cantik anggun bergaya dengan berbagai solekan make up terkini, sewaktu berinai dan bersanding, seorang jurusolek khas dari kaum lelaki mengandamkan Ayu. Juru andam lelaki inilah yang menghiaskan Ayu. Waktu ini agaknya bersentuhan dengan kaum lelaki sudah berubah hukum dari haram kepada sunat agaknya!! Begitulah seperti diajarkan oleh arwah guru, satu dosa akan menggamit dosa-dosa yang lain.

Perkara 5:

Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?

Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:

1. Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00

2. Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.

3. Orang yang lebih miskin dari aku pun berani belanja lebih RM20,000.00 untuk majlis kenduri kahwin. Tak kan aku dengan gaji lebih besar dari dia tak sanggup belanja lebih RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!

4. Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status saya sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.

5. Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.

6. Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri saya ini. Barulah seronok.

7. Kalau aku keluar belanja RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00 bolehlah dapat keuntungan dari majlis kenduri kahwin ini.

Perkara 6

Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan bayaran yang tinggi?

Bayaran hantaran belanja yang tinggi tidak pernah disarankan oleh Islam. Sebagaimana telah saya jelaskan dalam perkara 1 di atas, Islam menggalakkan mahar yang rendah semoga memudahkan proses perkahwinan.

Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:

1. Menilai status keluarga dan pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini. Lagi  tinggi status keluarga, lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak dara yang ingin dikahwini ini sekadar minah kilang, murahlah sikit hantaran belanja. Kalau ada degree apatah lagi kalau berjawatan tinggi seperti doktor atau jurutera atau pensyarah, kenalah letak hantaran belanja yang tinggi. Kalau artis kenalah lagi tinggi.

2. Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.

3. Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!

4. Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.

5. Aku sudah membelanjakan sekian banyak duit untuk membesarkan dan mendidik anak perempuan aku. Siapa nak kahwin dengannya kenalah sanggup keluar duit yang tinggi. Nak beli lembu seekor pun sudah lebih dari RM2000 ini kan pula anak aku!

Sebenarnya dengan meletakkan hantaran belanja yang tinggi, inilah dia tujuan  sebenarnya yang tidak disedari atau dengan disedari:

1. Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.

2. Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu

3. Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.

4. Agar anak lelaki lupa tanggung jawab kepada ibu bapanya yang telah membesarkan dan mendidik untuk sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat degree nak kahwin, nak beri duit kepada ibu bapa sudah tiada lagi maklumlah kena menabung untuk membayar kos berkahwin yang gila habis. Bukan cukup  RM15,000.00 untuk kahwin. Itu belum masuk lagi duit ansuran kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.

5. Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin

6. Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA

7. Agar selepas kahwin pasangan ini hidup melarat maklumlah hutang keliling  pinggang. Bolehlah kelak selalu berperang suami isteri bila dah bengang.

Perkara 7

Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan.

Bila kos makanan tetamu sahaja sudah mencecah lebih daripada RM15,000.00, tuan rumah mulalah naik risau kelak kalau waktu majlis kenduri kahwin hujan ribut dari pagi sampai petang, orang ramai tak datang, macam mana dengan makanan yang berlebihan dan paling penting tentunya duit sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah. Bagi mempastikan hari kenduri kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:

1. Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.

2. Mengamalkan pelbagai petua orang Melayu seperti membuang pakaian dalam pengantin ke atas bumbung, meletakkan payung secara terbalik lalu meletakkan air ke dalam payung terbalik tersebut

3. Berbagai amalan karut marut lain

Mudahnya orang Melayu untuk sesat. Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu dibalas pula oleh manusia dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil bomoh tolak hujan adalah sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di atas juga adalah sesat.

Baru-baru ini saya menghadiri majlis kenduri kahwin saudara saya. Pada pukul 11.45, semua keluarga, saudara mara, penanggah dan tuan rumah makan maklumlah tetamu dijangka akan datang pada pukul 12.00 tgh sebagaimana tertera dalam kada jemputan. Saya turut makan bersebelahan tuan rumah. Cuaca ketika itu memang terang benderang. Tuan rumah dalam keseronokan dapat menantu berkata “bagus betullah petua dari kak chik pakai payung diterbalikkan, cuaca hari ini cukup cantik”.

Astagfirullah… saya berkata-kata dalam hati. Nak dihujah, keadaan tidak sesuai. Saya berkata-kata di dalam hati “kalau macam ini sunnatullahnya tak lama lagi memang hujan nak turun di majlis ini”. Perbuatan tuan rumah ini bagi kata bidalan diberikan susu dibalas tuba.

Dengan kuasa Allah, mulai pukul 1.00 tengahari gerimis halus sudah mula turun. Kira-kira pukul 1.45 tgh hujan lebat turun sehingga pukul 2.30 ptg. Dalam hati saya berkata “Inilah satu pengajaran yang sangat baik kepada orang yang mensyirikkan Allah. Percaya benar payung terbalik ada kuasa untuk mengelakkan hujan turun. Sama sebiji macam orang kafir berharap kepada patung yang dibuat daripada batu, Astagfirullah…”.

Secara mudahnya tetapi sukar untuk dilaksanakan ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak mengirimkan hujan pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah solat sunat terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara terus, insya Allah majlis tersebut tidak turun hujan.

Perkara 8

Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat, Astagfirullah…

Majlis kenduri kahwin adalah majlis memberi makan kepada orang miskin dan tetamu lain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat kenduri besar, buatlah sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih seekor kambing. Jemputlah orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat dan saudara mara terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam sebagaimana majlis aqiqah apabila dapat anak.

Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:

1. Membayar wang yang banyak kepada DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran dan penyanyi. Ini namanya mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila baca artikel berkaitan muzik bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian  menurut Islam di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40. Membazir sudah satu dosa. Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh orang perempuan adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.

2. Bergilir-gilir anak dara belajar buat dosa iaitu menyanyi secara karaoke. Inilah platform yang amat cantik untuk menjadi penyanyi macam Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa dengan menyanyi.

3. Orang lelaki pula seronok mendengar nyanyian secara karaoke oleh anak dara. Redha dengan perbuatan ini adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang besi cair ke telinga.

4. Inilah masa bagi anak dara menayang body dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih baik lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah….

5. Bagi wanita yang sudah berkahwin, ada yang menjadikan majlis ini untuk menunjukkan bahawa badannya masih cantik walaupun sudah ada anak dengan memakai pakaian pelbagai fesyen yang jauh dari kehendak Islam.

6. Menjadikan majlis kenduri kahwin sebagai majlis pesta fesyen pakaian. Ada yang terbelah mendedah peha, ada yang low cut mendedahkan buah dada yang membulat dan sebagainya.

7. Pesta bagi wanita menunjukkan kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran takut dimalukan.

8. Kalau dikampung dimana masak memasak diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat seronok iaitu PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali dikalangan orang perempuan, Astagfirullah….

9. Tidak cukup dengan muzik dan nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita, Astagfirullah….

10. Disetengah tempat, majlis kenduri kahwin adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana tuan rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup menjadi penanggah.

Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.

Islam menyarankan majlis kenduri kahwin tetapi realitinya majlis kenduri kahwin kini menjadi satu majlis yang mengundang pelbagai dosa, bagaimanalah Allah nak memberikan rahmatNya kepada pengantin yang baru berkahwin ini.

Sekian wassalam wallahualam

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

online