JASIN: Musim panas yang melanda negara sejak Januari lepas dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini berikutan perubahan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata sehubungan dengan itu hujan yang berterusan juga dijangka mula turun secara kerap dan bukan lagi hujan sekejap-sekejap yang dialami negara pada masa ini.
"Namun dalam tempoh tersebut (sebelum hujan berterusan turun) kami akan teruskan dengan pembenihan awan di beberapa lokasi yang dikenal pasti mempunyai awan 'towering cumulus'," katanya kepada pemberita di Merlimau di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Kolaborasi antara Politeknik Merlimau dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka di politeknik itu.
Pengarah Politeknik Merlimau Zolkarnain Jobshi dan Pengarah CIDB Melaka Norlida Nabil menandatangani dokumen itu yang bertujuan meningkatkan usaha sama dalam bidang kejuruteraan merangkumi pertukaran informasi dan pengendalian kursus keselamatan bagi pelajar serta pekerja binaan.
Dr Abu Bakar berkata pembentukan awan 'towering cumulus' yang mempunyai kandungan wap air melebihi 80 peratus merupakan faktor utama dalam memastikan kejayaan operasi itu.
"Operasi ini dapat mempercepatkan proses penurunan hujan apabila kita semburkan air garam pada awan itu bagi menambah isi padu kandungan air dan apabila kandungan air didalamnya bertambah, awan akan menjadi berat dan akan menurunkan hujan," katanya.
Beliau berkata sejak tahun 1977 sebanyak 284 operasi pembenihan awan telah dilaksanakan dan kira-kira 80 peratus daripada jumlah itu berjaya menghasilkan hujan.
0 comments:
Post a Comment