FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
PHU QUOC - VIETNAM. Kerajaan Vietnam akan menghentikan aktiviti pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) di perairan mereka sementara menunggu jawapan dari Malaysia mengenai kedudukan terakhir pesawat itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu hari ini berkata, operasi mencari pesawat yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu itu dihentikan selepas laporan media semalam menyebut bahawa tentera Malaysia kali terakhir mengesan pesawat itu di Selat Melaka.

"Kami telah menghantar dua notis kepada Malaysia (sejak semalam) untuk mengesahkan laporan media antarabangsa (berhubung kedudukan terakhir pesawat itu).

"Tiada jawapan diterima setakat ini," katanya dalam sidang media di pusat operasi mencari dan menyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc, pagi tadi.


Namun Pham berkata, dua penerbangan untuk operasi mencari dan menyelamat akan tetap dibuat hari ini tetapi semua aktiviti lain akan dihentikan.

Beliau juga berkata, sehingga kini Vietnam hanya berhubung dengan seorang pegawai dari Malaysia dan maklumat yang diperolehi dari Malaysia tidak mencukupi.

Kerajaan Malaysia pada Sabtu lalu mengumumkan lokasi pencarian pesawat yang membawa 239 individu itu diperluas ke Selat Melaka.

Semalam, sebuah akhbar di Malaysia melaporkan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menyebut bahawa radar milik tentera Malaysia kali terakhir mengesan penerbangan MH370 di Selat Melaka, jauh tersasar daripada laluan asalnya dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Sebuah agensi media antarabangsa turut melaporkan perkara sama menggunakan sumber dalaman tentera Malaysia.

Namun, Rodzali menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.