SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia mengesahkan orang yang mengawal pesawat Malaysia Airlines MH370 menghantar mesej terakhir kepada pusat kawalan trafik udara selepas sistem komunikasi pertama dipadam, menambah kepada kemungkinan pesawat yang membawa 239 penumpang itu dirampas, lapor The Guardian.
Pendedahan terbaru ini mencadangkan orang yang menghantar mesej “All right, good night” kepada pusat kawalan udara Kuala Lumpur sebelum Boeing-777 hilang daripada radar pada 1.22 pagi dan dialihkan dari destinasinya ke Beijing turut sedar Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dipadamkan secara manual, lapor akhbar Britian itu lagi.
Sebaik sahaja pautan ACARS hilang, transponder pesawat ditutup pada 1.22 pagi pada 8 Mac, menyebabkan ia hilang daripada radar komersial dan berpatah balik di pantai Kelantan seperti yang disahkan oleh radar tentera, pesawat berpatah balik ke semenanjung menuju Selat Melaka.
Ini menimbulkan kemungkinan teori pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing itu mungkin dirampas.
Putrajaya berkata sebelum ini mereka kini memberikan tumpuan untuk menyiasat penumpang MH370 termasuk dua juruterbang, 10 anak kapal dan 227 penumpang pesawat yang hilang itu.
Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan polis menggeledah rumah juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid di Shah Alam, Selangor.
Polis mengklasifikasikan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines sebagai tindakan keganasan yang juga bermaksud rampasan dan sabotaj, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
0 comments:
Post a Comment