Pages

Tuesday 4 February 2014

[SINAR HARIAN] tip panjang umur, hidup melebihi 100 tahun...


 
Bidah menunjukkan MyKad yang menunjukkan umurnya melebihi 103 tahun.
  
BACHOK – Masih sihat. Begitulah keadaan seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun dari Kampung Wakaf Aik, Tawang di sini.

Bidah Senik, atau lebih mesra dipanggil Wo, lahir pada 11 Oktober 1911, dan kini umurnya melebihi 103 tahun.

Menurutnya, ketika sebelum merdeka pendaftaran kelahiran sukar dilakukan dengan pelbagai faktor termasuk penempatan yang jauh dan kemudahan kenderaan.

Bidah berkata, kesihatan yang dikecapnya kini mungkin kerana mengamalkan makan sireh setiap hari yang menjadi makanan rutinnya sejak remaja lagi.

“Tiada petua tertentu yang Wo amalkan kecuali bangun awal pagi dan makan 10 helai sireh setiap hari.

“Selain itu, setiap pagi Wo akan bangun sebelum subuh dan membersihkan sekeliling rumah sebagai rutin harian,” katanya.

Bidah berkata, setiap hari dia tidak akan berenggang dengan tapak sireh warisan keluarganya dan peralatan yang dikenali sebagai ‘cekati’ dan ‘gobek’ yang digunakan untuk menghancurkan sireh pinang.

“Alhamdulillah setakat ini mata dan telinga Wo masih baik. Tidak ada sakit kronik dan demam pun jarang.

“Cuma banyak perkara yang Wo tak ingat. Cucu cicit sendiri pun kadang- kadang tak kenal. Tetapi Wo ingat, negeri ini pernah dilanda banjir besar dipanggil Bah Merah sekitar tahun 1926 ketika itu Wo masih remaja, selain pengalaman zaman pendudukan Jepun,” katanya yang dikurniakan lapan orang anak hasil dua perkahwinan lalu.

Anak-anaknya, Yusof Wan Lah, 70; Saadiah Salleh, 68; Che Ibrahim Salleh, 67; Awang Salleh, 64; Che Mah Salleh, 62; Mat Diah Salleh, 57; Abdullah Salleh, 56, dan Che Esah Salleh, 53.

Wo juga mempunyai 60 cucu, 100 cicit, 30 piut dan lima piat yang kebanyakannya menetap di Kelantan.

Sementara itu, anak keenamnya, Abdullah berkata, dia menganggap usia ibunya panjang kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan ia adalah kurniaan ALLAH SWT.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

online